Followers

Kalau tak suka jangan makan..

Dulu ketika saya kecil, mak saya pantang sungguh kalau masakannya di kritik.."Mak nape rasanya camni?"..lalu mak menjawab.."Makan ajelah! Kang mak tak masakkan baru kau tau!"..Saya terpaku. Salah ke saya hendak mengkritik? Tapi ketika itu saya masih hingusan, saya tahu makan saja. Mak masak saya makan. Tapi jangan komen banyak, sumbat sahaja dalam mulut. Kalau tak suka jangan makan. Kalau di kritik alamatnya meja makan jadi tempat bersidang. Kini saya dah beranak empat, baru saya faham perasaan mak bila apa yang dimasak di kritik oleh anak-anak atau suami. Walapun kritikannya hanya sedikit seperti "Mama, kurang garam ni". Saya mula terasa dan mula mengomel, "Masak salah tak masak pun salah. Lain kali mama malas nak masak". Wah wah sungguh emosi saya. Padahal bukan perkara besar pun. Daripada anak-anak dan suami terpaksa menelan tanpa redha, kan lebih elok saya menerima pandangan. Bak kata orang kritikan itu membina. Tapi bila saya membinanya dengan penuh emosi negatif, apa akan jadi? Mulalah saya pun tak mahu makan. Mulalah saya mengungkit yang suami tidak suka dengan masakan saya. Kebudak-budakan sungguh saya.

Saya ingat lagi ketika umur saya 8 tahun, saya mula memasak. Ketika itu saya dan abang saya saja di rumah. Ibu saya tiada. Saya sangat lapar ketika itu begitu juga abang saya. Saya mula menguji langkah pertama saya untuk memasak. Saya memasak "Ayam masak kicap". Sungguh yakin saya ketika itu. Sebelum ni saya hanya menolong ibu di dapur saja seperi kadet di bawah arahan sarjan. Kali ini pisau,sudip dan kuali di hadapan saya. Pelbagai persoalan timbul di kepala. "Macamana la aku nak potong ayam ni?". Bayangkan, berkecai ayam dibuatnye. Mana satu tulang mana satu daging pun saya tidak tahu tapi saya tidak peduli, dalam kepala otak berkata "Janji masak, aku dah lapar". Saya pun mengimbas kembali cara-cara memasak ketika menolong ibu saya. Abang terjengkit-jengkit melihat masakan didalam kuali. Setelah selesai, saya menghidangkan pada abang. Abang berkata, "Apa ke benda lah yang kau masak ni. Pelik betul rupanya". Saya mula rasa kecewa tapi saya abaikan dan menjawab, "Ayam masak kicap laa!!". Bayangkan baru sekali memasak saya dah mengamuk mendengar ktitikan abang. Itu baru komen abang pasal rupa Ayam Masak Kicap saya, belum 'test' makan lagi. Bila abang menjamah, mukanye berkerut. Dalam hati saya "Sah nak mengutuk aku lagi ni". Tiba-tiba abang bersuara "Boleh tahan ayam masak kicap kau ni. Sedap gak". Wah, hati saya berbunga-bunga. Sampai sekarang saya masih ingat bait kata-kata itu. Dan mendorong saya untuk fokus dengan apa yang saya minat.

Dari situ saya mula minat memasak. Apa sahaja tentang makanan saya begitu teruja. Bila kawan-kawan ajak makan, saya tidak menolak malah ia rezeki besar buat saya. Bagi saya makan itu menjadi darah daging. Bukan sukahati main telan saja apa yang ada didepan mata kita tapi bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan pada kita. Dengan minat saya inilah saya meneruskannya. Seperti sekarang, saya begitu teruja dengan kek. Bila saya pergi ke bakeri, saya akan meneliti satu-persatu kek yang dijual. Saya akan membeli untuk merasa. Dan saya ambil peluang belajar dengan yang pakar tentang pembuatan kek. Alhamdulillah minat saya ini menjadi punca pendapatan saya sekarang walaupun saya menjadi surirumah sepenuh masa. Walaupun saya tidak berniaga, saya pasti akan berkongsi juga minat saya ini kerana saya tahu, orang di luar sana juga mempunyai minat yang sama seperti saya. Dengan itu, banyak ilmu dan informasi yang boleh saya dapat berkenaan dengan kek apabila berkongsi dengan yang lain. Saya sangat seronok bila orang puas dengan hasil kerja saya dan membeli kek-kek saya. Bukan wang ringgit yang menjadi keutamaan, tapi bila saya ada pengalaman ini, saya berkongsi dengan orang lain yang juga ingin menjadi seperti saya, saya gembira kerana ia menambah nilai hidup ornag lain untuk mencapai minat mereka. Dan saya bangga bila orang bertanya "Awak buat apa duduk di rumah?". Saya menjawab..

"KEPAKARAN SAYA IALAH MEMBERI KEPUASAN KEPADA ORANG YANG GEMAR MAKAN KEK DAN MEMBERI TUNJUK AJAR PADA MEREKA YANG INGIN MENDALAMI ILMU TENTANG PEMBUATAN KEK WALAUPUN DIA HANYA SURIRUMAH YANG ORANG ANGGAP MEREKA TIDAK BUAT APA-APA"

Mama Herda Delights



up